Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat reruai pada Sambutan Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) 2023 di Kompleks Institut Penyelidikan Perubatan (NIH), Setia Alam pada 19 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor berkenan rasmi Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perubatan

SHAH ALAM, 19 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) 2023 hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda pada program sempena ulang tahun ke-123 IMR di Kompleks Institut Kesihatan Negara, Setia Alam di sini diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin dan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan IMR Dr Tahir Aris.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melawat makmal penyelidikan ketika perasmian Sambutan Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) 2023 di Kompleks Institut Penyelidikan Perubatan (NIH), Setia Alam pada 19 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dalam majlis itu, Baginda berkenan menonton tayangan video korporat yang memaparkan latar belakang dan usaha penyelidikan dijalankan institusi penyelidikan bioperubatan terkemuka negara.

Baginda kemudian berkenan melawat reruai pameran antaranya pameran penyelidikan dan makmal sebelum menikmati santapan.

Terdahulu, Dr Zaliha dalam sembah ucapan berkata pameran lima tahun sekali itu selaras Pelan Strategik IMR 2019-2030 bagi meningkatkan keterlihatan dalam kalangan masyarakat.

“Patik berharap program ini dapat membantu memupuk kesedaran berhubung kepentingan penyelidikan khususnya bidang biomedikal dalam kalangan masyarakat.

“Ia demi mewujudkan modal insan yang memfokus ke arah penyelidikan dan pembangunan, sekali gus mendokong cabaran pembangunan modal insan bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya.

Program sehari sarat dengan aktiviti lain seperti pertandingan kuiz, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan dan kendera saji.

Ditubuh British pada 1900 oleh Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu Sir Frank Swettenham Athelstane, IMR berfungsi sebagai institut patologi di Kuala Lumpur bagi memperbaiki taraf kesihatan penduduk tempatan serta meneroka bidang perubatan tropika.

 


Pengarang :