DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat makmal penyelidikan diiringi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (tiga dari kiri) ketika perasmian Sambutan Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) 2023 di Kompleks Institut Penyelidikan Perubatan (NIH), Setia Alam pada 19 October 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kajian wolbachia mampu turunkan kes denggi, diiktiraf WHO

SHAH ALAM, 19 OKT: Kajian bakteria sel serangga atau wolbachia dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) memberi impak terhadap bilangan kes denggi di negara ini.

Menteri kesihatan berkata analisis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes denggi menurun antara 33 hingga 100 peratus di kawasan nyamuk wolbachia dilepaskan.

Dr Zaliha Mustafa memaklumkan penyelidikan wolbachia pimpinan Pakar Penyelidik Entomologi Perubatan IMR Dr Nazni Wasi Ahmad yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) wajar dibanggakan.

“Keunggulan IMR dalam penyelidikan wolbachia mendapat pengiktirafan WHO seterusnya menjadikannya tonggak utama menangani masalah aedes serta penularan penyakit disebarkan nyamuk.

“Di Malaysia, Wolbachia digunakan untuk merencatkan virus denggi, zika dan chikungunya di dalam nyamuk melalui suntikan pada telur nyamuk,” katanya dalam sembah ucapan pada Hari Terbuka IMR hari ini.

Program sempena ulang tahun IMR ke-123 di Kompleks IMR, Setia Alam di sini disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata kerajaan juga menghargai komitmen institusi penyelidikan bioperubatan terkemuka negara itu yang mewujudkan makmal khas bagi menangani pandemik Covid-19.

Beliau menjelaskan lebih 1.3 juta ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (Rt-PCR) dijalankan makmal terbabit sejak Januari 2020 hingga Mei tahun lepas bagi mengesan jangkitan wabak.

“Patik mengucapkan rasa hormat dan penghargaan kepada semua pekerja perubatan, petugas kesihatan dan penyelidik yang bekerja tanpa lelah untuk mengatasi pandemik ini.

“Kewujudan makmal khas Covid-19bukti kesungguhan dan komitmen IMR menyokong usaha mengatasi pandemik,” katanya menambah IMR menerajui penyelidikan vaksin jenis virus ternyahaktif dan messenger ribonucleic acid (mRNA).

Beliau menambah IMR yang ditubuh British pada 1990 turut berperanan dalam penyelidikan bidang herba dan perubatan tradisional bagi tujuan perubatan, kecantikan dan kesejahteraan.


Pengarang :