Pemain Kg Bharu Boss FC (kiri) berjaya menyekat pergerakan pemain Tebuan FC Kg Pinang dalam perlawanan keempat Liga Juara Selangor 2023 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 18 Oktober 2023. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

SCL 2023: Frenz United teraju kumpulan A, Gombak FA kejutkan KKB Brotherhood

SHAH ALAM, 19 OKT: Klang Frenz United FC melonjak ke tangga teratas kumpulan A selepas menewaskan Ingress KL FC 1-0 dalam perlawanan keempat Liga Juara Selangor (SCL 2023) semalam.

Jaringan tunggal Ali Amirun pada penghujung babak pertama berjaya membantu skuad kendalian Matdinos Talib mengutip tiga mata penuh dan kekal tanpa kalah setakat ini.

Nasib berbeza dialami pencabar terdekat KKB Brotherhood FC yang tewas mengejut 0-3 kepada Gombak FA di Arena MBSJ, Subang Jaya.

Tiga gol dalam babak pertama menerusi Muhammad Faizzudin pada minit ketujuh dan 27, diikuti jaringan Faes Hafize membolehkan pasukan melonjak ke kedudukan kedua kumpulan A.

Sementara itu, Tebuan FC Kg Pinang berjaya mencatat kemenangan pertama musim ini menewaskan Kg Bharu Boss FC 2-1.

Md Shahrul muncul wira pasukan selepas meledak dua gol pada babak kedua walaupun pasukan bimbingan Muhd Safian ketinggalan menerusi jaringan awal Azrul Razman pada minit ke-25.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Ampang Ukay Positive FC dan Kru Port Klang terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat 1-1.

Jaringan Engku Farhan pada minit akhir permainan menghampakan harapan Kru Port Klang mencipta kemenangan pertama dalam saingan SCL 2023.

 

 


Pengarang :