Orang ramai melawat reruai pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelajar IPT manfaat sidang niaga cari peluang kerja, potensi ceburi industri halal

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang membuka tirai hari ini menawarkan pelbagai pilihan kepada semua golongan.

Pengunjung Abdul Haq Adnan, 21. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengunjung, Abdul Haq Adnan, 21, melihat penganjuran persidangan itu sebagai peluang untuknya mencari peluang pekerjaan dan mempelajari mengenai industri halal.

“Saya datang ke sini untuk melihat apa peluang yang ada dalam industri selepas tamat belajar nanti kerana saya tidak mahu menganggur,” kata pelajar Fakulti Pengajian Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagi kakitangan swasta, Salsabilla Amran, 35, berkata beliau mencari pembekal makanan dan perubatan yang menawarkan harga dan kemudahan menarik kepada syarikatnya.

Pengunjung Salsabilla Amran, 35. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, SIBS 2023 yang mengimpunkan enam ekspo utama menawarkan pelbagai pilihan sekali gus berupaya menyedia perkhidmatan bersesuaian.

“Saya merupakan kakitangan di bahagian urusan pembelian. Jadi saya perlu melihat dan meneliti pilihan yang paling terbaik untuk majikan saya,” katanya.

Kontraktor, Heng Suei Liang, 69, berkata beliau berhasrat mencari peluang padanan perniagaan bagi melaksana projek berskala besar yang sedang diusahakannya.

“Saya sedang cari pihak yang boleh membantu saya melunaskan sebuah projek pertanian di Sekinchan. Saya lihat di sini ada banyak usahawan dan ini merupakan peluang terbaik,” katanya.

Pengunjung Heng Suei Liang, 69. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

SIBS 2023 yang bermula hari ini sehingga Ahad menyediakan hampir 1,050 reruai dengan jangkaan 50,000 pengunjung termasuk pelawat dari luar negara.

Sidang tahunan itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Dianjurkan sejak 2015, sidang itu membuka potensi penerokaan bidang baharu termasuk inovasi dan teknologi selain menjamin masa depan generasi muda.


Pengarang :