Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) merobohkan 23 struktur papan iklan haram sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dalam operasi lima hari bermula 10 Oktober lalu.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan operasi bersepadu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu dijalankan berikutan syarikat pemilik papan iklan gagal mematuhi arahan perobohan dalam tempoh 30 hari yang dikeluarkan MPHS.
“Jabatan Bangunan dan Jabatan Penguatkuasaan MPHS dibantu Plus dan kontraktor dilantik merobohkan struktur mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 72 (6).
“Struktur papan iklan haram yang dirobohkan itu disimpan di stor simpanan MPHS sebelum dilupuskan,” maklum MPHS menerusi Facebook.
MPHS turut memberi peringatan akan melaksanakan tindakan berterusan terhadap syarikat pemilik papan iklan yang ingkar dan gagal mematuhi notis arahan dikeluarkannya.