Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 191/19 berlangsung di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson pada 4 Julai 2020. Foto ihsan Tentera Darat Malaysia
AGENDANASIONAL

Dua pegawai muda alami strok haba di pusat latihan tempur stabil

JOHOR BAHRU, 20 OKT: Dua pegawai muda yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami strok haba ketika menjalani kursus tempur, di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, baru-baru ini, kini berada dalam keadaan stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata selain dua mangsa tersebut, semua yang lain dibenarkan keluar hospital dan sudah pulang ke rumah masing-masing.

“(Dalam kejadian itu) seorang mangsa meninggal dunia, manakala sebahagian telah dibenarkan balik. Dua lagi yang dirawat di ICU, kini dalam keadaan stabil dan semakin pulih,” katanya ditemui selepas Program Jualan Rahmah di perkarangan parkir kereta Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini mereka yang mengalami strok haba ketika menjalani kursus tempur pegawai muda di Pulada, Jumaat lalu.

Ling menambah Kementerian Pertahanan memiliki panduan dan prosedur operasi standard ketika mengadakan latihan ketika cuaca panas.

“Bagaimanapun sekiranya memerlukan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia, mereka boleh mendapatkannya,” katanya.

Media melaporkan 10 penuntut yang menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar PULADA, dipercayai mengalami simptom strok haba pada 13 Oktober.

Tiga daripada peserta berkenaan dirujuk ke HSI kerana memerlukan rawatan rapi, manakala tujuh peserta dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

Bagaimanapun, salah seorang daripada pegawai muda tersebut iaitu Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, meninggal dunia pada 14 Oktober lalu.

– BERNAMA


Pengarang :