Empangan Klang Gate di Hulu Klang. Foto wikimapia.org
AGENDANASIONAL

Air tujuh empangan Selangor dilepaskan, elak limpahan semasa Monsun Timur Laut

SHAH ALAM, 20 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil inisiatif mengurangkan kapasiti air di tujuh empangan negeri ini secara berperingkat sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata strategi mengurangkan kapasiti simpanan air empangan itu dimulakan sejak pertengahan Ogos lepas dan setakat ini, inisiatif tersebut memberi dampak positif.

“Pelepasan air empangan bagi ketujuh-tujuh empangan yang dikawal selia oleh LUAS adalah bagi tujuan pengurangan kapasiti simpanan air empangan ke tahap 90 peratus kecuali bagi Empangan Klang Gates ke tahap 85 peratus.

“Tindakan penurunan kapasiti simpanan air empangan ini merupakan inisiatif LUAS untuk menyediakan ruang yang mencukupi bagi kesemua empangan untuk kesiapsiagaan sekiranya menerima kadar intensiti hujan tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, rekod melalui sistem pemantauan kapasiti semasa empangan negeri iaitu Integrated Water Resources Management System (IWRIMS) menunjukkan kapasiti simpanan air Empangan Klang Gates meningkat sebanyak lima peratus dengan jumlah 85 milimeter (mm) susulan hujan lebat pada 18 Oktober lalu.

“Namun tiada sebarang limpahan berlaku dari empangan susulan ruang yang masih cukup untuk menampung kehadiran hujan luar biasa pada masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Izham berkata sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kesemua empangan yang terlibat.

“Pelepasan air juga dibuat mengikut cuaca dalam tempoh tujuh hari kehadapan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Namun tiada pelepasan akan dibuat sekiranya paras sungai menunjukkan trend meningkat serta hujan yang lebat di kawasan hilir,” katanya.

 


Pengarang :