KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat memperluas perkhidmatan van transit atas permintaan (Demand Responsive Transport-DRT) bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat.
Dato’ Menteri Besar berkata ia susulan inisiatif yang mula diperkenal tahun ini di Puchong, Gombak dan Ampang sebagai projek rintis mendapat maklum balas positif dalam kalangan penduduk.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/P-MB-RASMI-2-500x333.jpg.webp)
“Lepas ini kita akan laksanakan mengikut permintaan dan diumumkan dalam belanjawan (2024).
“DRT ini beroperasi di luar laluan bas selain berperanan menghubungkan penduduk ke laluan bas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika melancarkan DRT hari ini.
Pelancaran dibuat ketika beliau merasmikan Konvensyen Bandar Pintar Selangor dan Ekonomi Digital ke-8 sempena Sidang Kemuncak Niaga Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
DRT adalah mod pengangkutan yang fleksibel dan mempunyai kebolehcapaian tinggi dalam kalangan pengguna terutama di laluan sempit yang tidak boleh dilalui Bas Smart Selangor.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/6-3-500x333.jpg.webp)
Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM25 juta bagi memperkasa pengangkutan awam dengan RM22 juta diagih kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor.
Baki RM3 juta pula diagih untuk Selangor Mobiliti Fasa Pertama merangkumi perkhidmatan van DRT untuk melengkapkan ekosistem pengangkutan awam negeri.