EXCO Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Jamaliah Jamaluddin (dua, kiri) bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang (dua, kanan) meyaksikan penukaran perjanjian kerjasama strategik di antara SIDEC dan TCA ketika Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan, Bersih Sifar dan Pelaburan Bioteknologi pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor manfaat teknologi kecerdasan buatan, tingkat perkhidmatan untuk rakyat

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kerajaan Selangor memanfaatkan potensi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

EXCO perubahan iklim dan teknologi hijau berkata teknologi berasaskan AI kini semakin melengkapi kehidupan masyarakat termasuk aspek penjagaan kesihatan dan perubahan iklim.

EXCO Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Jamaliah Jamaluddin berucap ketika Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan, Bersih Sifar dan Pelaburan Bioteknologi pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selangor tidak asing dengan kuasa AI dan Kerajaan Negeri sememangnya komited untuk memanfaatkan potensinya supaya kualiti hidup rakyat mampu ditingkatkan.

“Melalui AI, kita menyasar mewujudkan negeri yang lebih pintar, cekap dan mampan,” kata Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi kemuncak pelabur AI, karbon sifar dan bioteknologi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Program sempena edisi ketujuh Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata Selangor berhasrat menjadi peneraju dalam revolusi industri bioteknologi bagi menangani isu penjagaan kesihatan, keselamatan makanan dan pemeliharaan biodiversiti.

“Komitmen Kerajaan Selangor tidak berbelah bahagi terhadap kelestarian dan penjagaan alam sekitar. Kita ada visi jelas untuk mempromosikan teknologi hijau serta menerap amalan mampan dalam pelbagai sektor.

“Usaha jangka panjang ini juga demi menjamin kesejahteraan rakyat masa kini dan generasi akan datang seterusnya memberi inspirasi kepada negeri serta negara lain,” katanya.


Pengarang :