EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah menyampaikan hadiah kepada johan Kategori Inovasi Sosial (Penciptaan) ketika Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Anugerah inovasi galak PBT reka cipta teknologi baharu, mesra pengguna

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyifatkan kejayaan merangkul enam anugerah pada Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS) 2023 sebagai galakan untuk membudayakan ciptaan inovasi.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata menerusi kemenangan itu, akan mendorong kakitangan MPAJ terus mencipta teknologi terkini yang memberi manfaat serta kemudahan kepada rakyat

Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebagai contoh inovasi mengalih kenderaan terbiar, C4+ dicipta kerana penduduk mengalami masalah kereta terbiar di tempat letak kereta. Ciptaan ini telah memudahkan proses mengalih kenderaan dan tidak memerlukan keanggotaan ramai.

“Hasil uji pakai inovasi ini dalam tempoh lima bulan, kita berjaya mengalihkan 98 kenderaan di kawasan berstrata. Oleh itu, kita berhasrat memasarkan ciptaan ini kepada mereka yang berminat terutama di kawasan parkir bertingkat,” katanya ditemui pada majlis tersebut.

Terdahulu, MPAJ dinobat johan kategori Inovasi Sosial (Penciptaan) dan memenangi Anugerah Projek Inovasi Hibrid Terbaik, Projek Inovasi Primer Terbaik dan Dokumentasi Terbaik.

Membawa pulang wang tunai jumlah keseluruhan RM34,500, MPAJ turut memenangi tempat ketiga kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan) dan Inovasi Sosial (Penambahbaikan).

Yang Dipertua MPK Noraini Roslan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semua anugerah tersebut disampaikan EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah pada program Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan berkata pihaknya berhasrat untuk mempertandingkan ciptaan inovasi sistem undian dan bidaan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Inovasi undian dan bidaan mula dua tahun lalu untuk bazar Ramadan dan membantu menjimatkan beberapa perkara termasuk tidak perlu datang ke majlis.

“Ciptaan inovasi ini juga berguna untuk jabatan lain juga khususnya yang memerlukan undian dan bidaan. Dengan anugerah ini, ia menjadi motivasi untuk lebih mencipta inovasi dan kita mahu mempertandingkannya di peringkat lebih tinggi,” katanya yang mewakili MPK menerima Anugerah Kategori Inovasi Sosial (Penambahbaikan).

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama menerima Anugerah Produk Harapan 2023 menerusi sistem e-notifikasi.

Datuk Bandar Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata pihaknya terkejut apabila dimaklumkan dinobat sebagai penerima anugerah menerusi sistem yang dicipta bagi mengatasi masalah bil cukai taksiran tidak diterima pemilik harta.

“Kita menggunakan sistem ini sepenuhnya pada tahun ini dan mendapat maklum balas positif apabila jumlah bayaran cukai diterima melebihi daripada tempoh sasaran ditetapkan.

“Ini menunjukkan keberkesanan sistem ini yang mesra pengguna, malah kita mampu menjimatkan kos hampir RM500,000 kerana tidak perlu menghantar bil kepada 281,000 pembayar cukai,” katanya.

 

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah pemenang ketika ketika Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah pemenang ketika ketika Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :