Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada pemenang inovasi ketika Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kumpulan cipta inovasi rawat sisa buangan industri rangkul dua anugerah

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Penghasilan produk inovasi daripada bahan buangan terjadual berjaya mengangkat Kumpulan Scino Enviro Tech sebagai penerima anugerah khas sempena Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) tahun ini.

Selain anugerah khas, produk ‘Alkalis Carbide Lime’ hasil inovasi lapan peserta dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam turut dinobat juara kategori institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Projeknya Nur Ain Mohd Zainuddin berkata beliau bersama pasukannya mencipta inovasi rawatan sisa buangan air industri menggunakan bahan terjadual dari kilang selama dua tahun.

Pensyarah Kejuteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nur Ain Mohd Zainuddin

“Sepanjang tempoh berkenaan, kami bergerak perlahan demi perlahan dan mencuba kepada beberapa jenis air buangan sebelum mencuba air daripada enap cemar.

“Penciptaan produk ini sebagai menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG) bagi mengelak buangan terjadual masuk ke tapak pelupusan (landfill).

“Sebelum ia dibuang ke situ, kami proses dan guna semula untuk rawatan,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Pensyarah di Pengajian Kejuruteraan Kimia UiTM berkata pihaknya juga sedang menjalankan projek rintis di tapak pelupusan selain mahu memasarkan produk inovasi itu pada November tahun depan.

“Sebenarnya ini juga projek tahun akhir pelajar terutama doktor falsafah (PhD) bagi pengajian kejuruteraan kimia, jadi ia adalah projek berterusan.

“Saya berterima kasih kepada pasukan yang bertungkus-lumus menyiapkan projek ini. Penghargaan turut dirakamkan kepada hal ehwal pelajar kerana menyokong usaha dan membiayai kos,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pejabat Setiausaha Kerjaan Negeri Selangor dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kemenangan itu melayakkan kumpulan terbabit membawa pulang RM5,000 bagi anugerah khas dan RM3,000 untuk johan kategori IPT termasuk piala serta sijil.

Hadiah disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada penutup Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (SRIE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023.

Sementara itu, Amirudin berkata AINS kali ini menerima sebanyak 220 penyertaan membabitkan tujuh kategori dengan sesi penilaian awal dibuat pada Ogos hingga September.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 70 peserta mara ke peringkat akhir yang diadakan pada 18 hingga 21 September.

Diperkenal pada 2010, AINS memberi peluang kepada semua penduduk di Selangor meliputi individu, orang perseorangan, penjawat awam, syarikat swasta, pelajar sekolah dan pelajar IPT mencetus idea baharu yang kreatif dan inovatif ke arah pembudayaan inovasi negeri ini.


Pengarang :