Pengujung mendapatkan barangan asas ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Orang Ramai Batu 16, Dusun Tua, Hulu Langat pada 23 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat mahu perluas jualan murah, bantu penduduk jimat belanja

HULU LANGAT, 23 OKT: Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua berhasrat memperluas Jualan Ehsan Rahmah (JER) di lokasi terpilih tahun depan.

Datuk Johan Abdul Aziz berkata langkah tersebut bagi memenuhi keperluan penduduk mendapat bekalan asas pada harga murah sekali gus menjimatkan perbelanjaan penduduk.

Wakil rakyat DUN Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz

“Program jualan murah sentiasa mendapat sambutan dan jadi pilihan penduduk untuk beli barang dapur. Saya akan ikhtiar untuk diperbanyakkan di kawasan Dusun Tua.

“Ini kerana Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) sudah maklum pada seluruh wakil rakyat negeri supaya diteruskan program ini tahun hadapan selain ditambah baik dan produk jualan juga akan diperluas,” katanya.

Beliau ditemui pada program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Dewan Batu 16 di sini hari ini.

Penyelaras JER Muhammad Syahmi Asymawi berkata 300 ekor ayam, 200 pek beras dan 160 pek daging habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Penyelaras JER Muhammad Syahmi Asymawi

“Sambutan meriah dengan kehadiran 200 pengunjung yang mula beratur sejak 7.30 pagi,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :