Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

5,795 maut, lebih 18,000 cedera di Palestin sejak 7 Oktober

RAMALLAH, 25 OKT: Lebih 5,795 rakyat Palestin terbunuh manakala 18,000 lagi cedera akibat serangan rejim Israel di Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 5,700 kematian dan 16,000 kecederaan dilaporkan di Semenanjung Gaza manakala 95 terbunuh dan 1,836 lagi cedera di Tebing Barat.

Sekitar 70 peratus mangsa yang terbunuh terdiri kanak-kanak (2,360), wanita (1,292) dan warga emas (295), lapor Agensi Berita Palestin WAFA.

Selain itu, 10 daripada 35 hospital di Semenanjung Gaza tidak lagi beroperasi akibat pengeboman atau kehabisan bahan api.

Mereka yang hilang tempat tinggal di Semenanjung Gaza kini dianggarkan berjumlah 1.4 juta.

Sebanyak 250 kes serangan terhadap kakitangan kesihatan, kemudahan kesihatan dan ambulans direkodkan hingga mengakibatkan 42 petugas kesihatan terkorban, lebih 34 cedera dan 50 ambulans rosak.

Sementara itu, 69 serangan terhadap kemudahan kesihatan menyebabkan tujuh daripadanya tidak lagi beroperasi iaitu Hospital Arab Al Ahli, Hospital Beit Hanoun, Hospital Kanak-Kanak Al-Durrah, Pusat Pertolongan Cemas Persatuan Bulan Sabit Merah, Pusat Rehabilitasi Mohammad, Hospital Al-Karama dan Hospital Al-Wafa, selain ancaman pengusiran yang menjejaskan 24 hospital.

Setakat ini, hospital di Semenanjung Gaza menerima 1,450 laporan mengenai mangsa yang masih hilang, termasuk 800 kanak-kanak, dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

– BERNAMA-WAFA


Pengarang :