KUALA LUMPUR, 25 OKT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyempurnakan Pameran Rahsia Kebaya anjuran Jabatan Muzium Malaysia hari ini.
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan melawat ruang pameran busana yang menempatkan 60 jenis busana termasuk sepersalinan kebaya milik Baginda kurniaan Raja Permaisuri Agong.
Majlis berlangsung di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara di sini turut dihadiri Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.
Aaron dalam ucapannya berkata pameran yang dibuka mulai 19 Oktober hingga 31 Disember bertujuan mendedahkan sejarah kebaya termasuk potongan gaya, hiasan kelengkapan dan kelestariannya kepada pengunjung.
“Daripada 60 baju dipamerkan, 42 milik JMM manakala selebihnya dipinjam dari rakan kerjasama termasuk milik Tengku Permaisuri Selangor dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis.
“Baju kebaya turut dipinjam dari Perbadanan Muzium Kelantan, Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Lembaga Muzium Kedah, Lembaga Muzium Perak, Arkib Negara, kebaya pramugari MAS Airlines, Couture Classic dan persendirian,” katanya.
Aaron berkata penganjuran pameran seiring pelancaran inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang bertujuan melestarikan perpaduan menerusi pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap khazanah warisan.
“Baju kebaya merupakan antara pakaian kebangsaan rakyat Malaysia yang menjadi identiti nasional. Busana ini dipakai sejak dahulu dan kekal relevan sehingga hari ini.
“Pakaian ini menjadi medium menyatupadukan kaum dan integrasi sosial yang dikongsi bersama. Saya yakin penganjuran ini juga mendidik masyarakat tentang keunikan baju kebaya,” katanya.
Pada April, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memaklumkan Malaysia bersama Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand menyerahkan pencalonan bersama bagi pakaian tradisional kebaya ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bawah kategori Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.
Ia sebagai langkah memastikan jenis busana itu dilindungi menerusi pelaksanaan kursus, bengkel, promosi, serta dokumentasi atau penyelidikan dengan sokongan negara pencalonan dan komuniti mereka.