Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kadar inflasi negara 1.9 peratus pada September, terendah dalam tempoh 30 bulan

SHAH ALAM, 25 OKT: Kadar inflasi negara direkodkan hanya 1.9 peratus pada September lalu, iaitu yang terendah dalam tempoh 30 bulan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata faktor itu disokong penurunan berterusan indeks bagi beberapa sektor seperti makanan dan minuman, pengangkutan serta restoran dan hotel.

Bagaimanapun, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata beberapa komponen masih mencatatkan peningkatan seperti pakaian dan kasut serta minuman alkohol dan tembakau.

“Secara dasarnya, penyederhanaan inflasi bukan bermaksud penurunan paras harga tetapi merujuk kepada peningkatan harga barangan pada kadar yang lebih perlahan.

“Inflasi pada kadar terkawal iaitu pada 2 peratus hingga 3 peratus amat penting bagi ekonomi sesebuah negara untuk terus berkembang,” katanya menjawab soalan Onn Abu Bakar (HARAPAN-Batu Pahat) di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal menambah, Malaysia menumpukan kepada pelaksanaan dasar monetari dan dasar sektoral yang dapat menjamin kestabilan pengeluaran dan bekalan.

Ahli Parlimen Johor Bahru ini menjelaskan pelaksanaan dasar itu dilaksana bagi memenuhi kepentingan negara selain mengambil kira kedudukan permintaan dan penawaran dalam ekonomi.

”Dasar monetari dan dasar sektoral dapat menjamin kestabilan pengeluaran dan bekalan, terutamanya makanan yang akan membantu mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.


Pengarang :