Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
SHAH ALAM, 25 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) membelanjakan RM2.9 juta bagi menjayakan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) sejak empat tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah berkata sepanjang tempoh itu, seramai 3,730 usahawan dibimbing menerusi latihan pembangunan, kursus kemahiran dan pembuatan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/1-23-500x377.jpg.webp)
“Sitham diperkenal bagi membantu menaik taraf kehidupan dan ekonomi menerusi janaan pendapatan dengan kemahiran sendiri selain melahirkan usahawan India yang berdaya saing.
“Menerusi Sitham, kita anjurkan pelbagai program antaranya bantuan peralatan perniagaan, program bimbingan perniagaan (Grow), kursus kemahiran dan pembuatan serta latihan pembangunan usahawan,” katanya.
Mearia ditemui pada majlis taklimat dan penghargaan ketua komuniti India di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Beliau turut berharap individu yang dilantik sebagai ketua komuniti dapat memanfaatkan peruntukan diberikan dengan menganjurkan program bagi membantu usahawan India.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/5-19-500x314.jpg.webp)
“Setiap ketua komuniti menerima RM5,000 tahun ini berbanding RM3,000 sebelum ini. Dengan adanya penambahan ini, kita berharap mereka dapat anjurkan kursus yang lebih efektif.
“Dengan adanya kursus berkualiti, usahawan terbabit dapat memajukan perniagaan sekali gus meningkatkan pendapatan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2020/11/PSX_20201112_134458-1-500x333.jpg.webp)
Dilancarkan pada September 2019, Sitham memfokuskan usahawan India yang tekad memajukan perniagaan menerusi latihan pembangunan, kursus kemahiran dan pembuatan.
Program bawah kelolaan Hijrah itu turut menawarkan bimbingan perniagaan serta bantuan peralatan perniagaan (geran).
Mereka yang berminat dengan program Sitham boleh memohon menerusi laman sesawang Hijrah Selangor.