AGENDAJENAYAH

Budak perempuan maut selepas tertinggal dalam kereta

KUALA TERENGGANU, 25 OKT: Budak perempuan berusia 16 bulan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai ditinggalkan di dalam kereta di sebuah universiti awam di Kuala Nerus semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abd Rahim Md Din berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 4.30 petang selepas budak terbabit dibawa ke pusat kesihatan pelajar di universiti berkenaan.

“Bedah siasat telah dijalankan di hospital (Hospital Sultanah Nur Zahirah) malam tadi dan sebab kematian belum diperoleh kerana masih menunggu analisis makmal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abd Rahim berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas bapanya terlupa menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak universiti berkenaan pada sebelah pagi.

Beliau berkata kertas siasatan berkaitan kejadian itu dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau juga menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian bagi menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :