SHAH ALAM, 25 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) meneruskan penganjuran Karnival Deepavali tahun ini di tiga lokasi selama seminggu mulai 5 November.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata karnival di Klang, Sri Muda dan Ampang bakal menghimpunkan 150 usahawan bawah program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).
“Penganjuran kali ini agak berbeza kerana diadakan secara fizikal dan dalam talian menerusi platform digital TikTok. Ini adalah sebahagian usaha menginovasi perniagaan dengan pendekatan teknologi.
“Selain itu, selaras dengan agenda Kerajaan Negeri menuju ke arah negeri pintar menjelang 2025. Dengan penambahan kepada platform digital, diharap dapat meningkatkan pendapatan usahawan,” kata Dato’ Mearia Hamzah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis taklimat dan penghargaan ketua komuniti India di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 40 ketua komuniti India bagi sesi 2021-2022 menerima sijil penghargaan atas khidmat bakti dan sokongan.
Mearia memaklumkan pihaknya kini dalam proses merangka beberapa penambahbaikan bagi membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan.
“Kita dalam usaha untuk meningkatkan latihan supaya mereka dapat pengetahuan dalam merancang kewangan perniagaan dan berjaya melunaskan pinjaman pada tempoh ditetapkan.
“Apabila mereka membuat bayaran tepat pada masanya, kita boleh gunakan dana itu untuk membantu usahawan lain. Selain itu, kita dalam usaha memperkenalkan pembiayaan baharu bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya.
Hijrah menawarkan bantuan pinjaman kepada usahawan seperti Skim i-Bisnes, Skim Zero to Hero, Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI).
Turut ditawarkan bantuan modal memulakan perniagaan Skim i-Lestari, Skim i-Agro, Skim i-Bermusim dan Skim i-Sosial.