Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) memantau fenomena air pasang besar di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang pada 30 September 2023. Foto Facebook MPK
AGENDANASIONAL

Fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang, penduduk diminta berwaspada

SHAH ALAM, 25 OKT: Orang awam khususnya penduduk Pelabuhan Klang dinasihat sentiasa berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal bermula 27 Oktober sehingga 1 November ini.

Pejabat Daerah dan Tanah Klang memaklumkan bacaan paras air laut di daerah itu dijangka meningkat setinggi 5.6 meter pada 28 (Sabtu) dan 29 Oktober (Ahad) yang mungkin membawa risiko banjir.

Berdasarkan info grafik yang dikongsi menerusi Facebook, bacaan paras air laut dijangkakan setinggi 5.3 meter bermula jam 4.38 pagi 27 Oktober (Jumaat).

Pada 30 Oktober (Isnin), bacaan paras air laut adalah 5.5 meter jam 6.36 pagi. Manakala pada 31 Oktober (Selasa), paras air laut dijangka setinggi 5.4 meter jam 7.08 pagi dan 1 November (Rabu) setinggi 5.1 meter pada 7.38 pagi.

“Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di stesen Pelabuhan Klang pada 30 Oktober sehingga 1 November ini.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) mengingatkan semua warga Klang untuk sentiasa peka dan cakna dengan keadaan semasa,” katanya.

Orang awam juga dinasihat sentiasa mendapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dan arahan lanjut pihak agensi kerajaan bertanggungjawab.


Pengarang :