BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Khianati bangsa sendiri, filem papar kisah wanita dijerat jadi ejen Zionis

Wanita diberikan dadah hingga tidak sedarkan diri. Sewaktu warga Palestin itu dalam keadaan khayal, ejen Israel merakam gambar mangsa terbaring tidak berpakaian di sebelah lelaki yang diupah. Wanita ini kemudian diugut agar menjadi perisik negara haram itu.

Kisah benar ini diangkat sebagai pembuka filem Huda’s Salon (2021) di tangan Hany Abu Assad, pengarah Palestin yang sering mendapat anugerah di festival filem di banyak negara.

Filemnya Paradise Now (2005) dicalon untuk anugerah Oscar dalam kategori filem asing terbaik selepas memenangi anugerah Golden Globe pada 2006. Satu lagi karyanya Omar (2013) turut dicalonkan untuk anugerah Oscar.

Paradise Now menceritakan dilema dua pengebom berani mati Palestin, sementara Omar pula kisah lelaki Palestin bertukar ejen Israel, terpaksa mengkhianati sahabat sendiri, selepas diseksa dalam tahanan.

Poster filem Paradise Now. Foto Wikipedia

Penggambaran Huda’s Salon dibuat ketika pandemik Covid-19 di kawasan perumahan Baitul Laham, kawasan yang dikuasai Israel. Ia mengisahkan Reem (lakonan Maisa Abd Elhadi) diberi minum kopi bercampur dadah oleh pengusaha salun rambut Huda (Manal Awad).

Huda, seorang warga Palestin yang dibayar sebagai perisik Israel, mengugut wanita beranak satu itu menjadi mata-mata rejim Zionis. Dalam perancangan Huda, Reem perlu mengutip maklumat senjata pejuang Palestin.

Lahir dari keluarga berada di Nazareth pada 1961, Hany (foto) terlintas untuk mengangkat kisah di salun setelah teringat kisah sebenar wanita Palestin dipaksa menjadi ejen Israel melalui ugutan yang mengaibkan.

“Saya membaca satu tulisan 20 tahun lalu. Mengejutkan, perkara ini masih lagi berlaku. Tiga minggu lalu, ada satu lagi artikel tentang topik yang sama – (Israel) menggunakan salun rambut bagi menjerat wanita agar menjadi perisik,” katanya dalam temu bual di portal Salon pada 3 Mac 2022.

Dalam tempoh 10 minit pertama Huda’s Salon, Hany mengangkat kemelut wanita yang tersepit antara suami, masyarakat dan negaranya. Ia menggambarkan betapa takut, malu dan kecewa yang ditanggung Reem jika gambar itu tersebar.

Poster filem Omar. Foto laman web Palestine Cinema

Wanita berambut kerinting itu bimbang suaminya Yousef (Jalal Masarwa), yang kuat cemburu dan mengongkong, mengetahui insiden itu walau foto dirakam bukan atas kerelaannya. Terperangkap dan serba salah, Reem menanggung beban emosi sendirian.

Hany, yang memulakan kerjaya perfileman mulai 1990 setelah belajar kejuruteraan di Belanda pada 1980-an, menyelit tema feminisme. Reem tidak mungkin menjadi perisik jika suaminya seorang yang memahami, kata pengarah itu.

“Inilah isu utamanya. Perisikan Israel bolemenjerat wanita ini kerana suami mereka teruk. (Israel) tidak boleh memerangkap semua wanita,” katanya dalam wawancara yang sama, beberapa hari sebelum ia ditayangkan di Pesta Filem Wanita Beirut.

“Katakanlah insiden ini berlaku kepada isteri saya, dia pasti mengadu dan saya akan memahami dilemanya. Namun masyarakat kita melihatnya sebagai keaiban, sebab itu sebahagian wanita mudah diugut.”

Adegan seterusnya lebih mencabar dan panjang. Huda’s Salon memaparkan dua watak: Reem yang bergelut dengan masalahnya, sementara Huda pula disoal siasat kumpulan penentang Israel yang diketuai Hassan (Ali Suliman).

Khianati bangsa sendiri

Sejak detik malang di salun, Reem dibelenggu ketakutan dianggap pengkhianat bangsanya sendiri sehingga timbul tekanan yang mendalam. Selepas Huda menunjukkan foto bogelnya, Reem sangat takut diapa-apakan hingga bersedia dengan pisau walaupun ketika menidurkan anaknya.

Sedutan filem Huda’s Salon yang dikongsikan di Facebook Huda’s Salon

Namun, tekanan di dalam dirinya terus memuncak sehinga sanggup mencekak leher baju Yousef sambil menghunus pisau ke muka suaminya. Tekanan dalam keluarga itu diburukkan oleh ketakutan Reem dituduh perisik Israel. Setelah sembilan babak berselang seli antara dua watak wanita ini, akhirnya Huda menitiskan air mata juga. Seorang lagi wanita, daripada belasan mangsanya, yang diperalat agar menjadi perisik telah membunuh diri.

Hassan berkata tindakan Huda itu menjerumus wanita Palestin, agar mengkhianati bangsa mereka sendiri, menyebabkan kesengsaraan banyak pihak. Pengkhianatan ini malapetaka kepada Palestin, kata lelaki itu.

Walau sepanjang soal siasat wanita ini berkeras enggan mendedahkan nama perisik- perisik itu, akhirnya bersetuju bekerjasama dengan kumpulan pejuang. Namun, mampukah mereka bekerjasama menentang Israel?

Filem sepanjang 90 minit ini mendapat pujian ramai pengkritik. Portal penilaian filem terkenal Rotten Tomatoes memberi markah 79 peratus, sementara IMDb pula menilai 6.2 daripada 10 markah.

Bagaimanapun babak tanpa pakaian itu,selama 96 saat, mencetuskan pertikaian. Isu ejen Israel turut menimbulkan keresahan beberapa pihak. Namun pelakon utamanya Manal Awad mempertahankan isu perisikan yang nyata berlaku.

Saban tahun berita wanita Palestin ditangkap pejuang Gerakan Penentangan Islam (Hamas) sering dilaporkan.

Pada 2014, seorang balu beranak tujuh menjadi ejen Israel dengan alasan ingin membeli ubat anaknya.

Portal BBC pula melaporkan badan perisikan Mossad secara terbuka mencari wanita kerana mereka lebih cekap “membaca ruang dan situasi” daripada lelaki. Walau jarang diheret ke muka pengadilan, pada 2016, Hamas menangkap wanita yang disyaki cuba membocorkan terowong rahsia gerakan tersebut.
Sementara Hany pula sedia membuang babak kontroversi itu.

“Kemungkinan besar saya akan memotong babak itu apabila ia ditayangkan kepada khalayak Palestin,” katanya kepada portal perfileman antarabangsa Screen Daily pada Disember 2021.

Selain Huda’s Salon, banyak lagi filem yang memenangi anugerah mengupas kisah kehidupan dan perjuangan warga Palestin.


Pengarang :