Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sesi soal jawab menteri dalam sidang Parlimen aoda 26 Oktober 2023. Foto Facebook Fadillah Yusof
AGENDANASIONAL

Depani harga getah tidak menentu, lebih RM400 juta diperuntuk bantu pekebun kecil

SHAH ALAM, 26 OKT: Sejumlah RM474.54 juta diperuntuk bagi membantu 217,705 pekebun kecil getah seluruh negara sejak September 2015 hingga Ogos 2023, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata bantuan melalui Insentif Pengeluaran Getah (IPG) diperkenalkan bagi meringankan beban golongan tu yang menghadapi cabaran ketidaktentuan harga pasaran getah.

“Kerajaan amat prihatin dan mendengar keluh kesah pekebun kecil terutama ketika mereka disantuni melalui program trak komuniti bersama kementerian.

“Melalui pembentangan Belanjawan 2024 lalu telah bersetuju untuk menaikkan kadar pasar harga pengaktifan (PHP) bagi IPG dari RM2.70 sekilogram ke RM3.00 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah Dato’ Adnan Abu Hassan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) turut dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

“Pekebun kecil yang menyertai IPL akan menerima kadar insentif bulanan kepada RM2 sekilogram banding 100 peratus kandungan getah kering dari RM1 sekilogram.

“Bayaran Insentif Penyertaan juga disediakan dengan jumlah RM200 sebulan untuk tempoh setahun jika penoreh beralih dari pengeluaran getah kering ke IPL,” katanya.


Pengarang :