Worldwide Holdings Berhad (WHB) menyalur bantuan barangan perubatan ke Gaza pada 26 Oktober 2023. Foto Worldwide Holdings Berhad (WHB)
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Worldwide Holdings Berhad salur barangan perubatan ke Gaza

SHAH ALAM, 27 OKT: Worldwide Holdings Berhad (WHB) menyalur bantuan barangan perubatan dengan nilai keseluruhan RM40,000 ke Gaza bagi memenuhi keperluan kecemasan rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata bekalan berupa benang jahitan perubatan jenama Vesti keluaran sektor perniagaan syarikat itu sendiri.

“Kami amat prihatin dengan situasi semasa yang berlaku di Gaza dan diharap sumbangan perubatan ini dapat memenuhi keperluan kecemasan dihadapi mereka yang terjejas di wilayah itu.

“Sumbangan WHB ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat terhadap usaha kemanusiaan global bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin dalam masa yang mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan.

Norazlina berkata sumbangan akan disalurkan melalui Kementerian Luar Negeri bagi memenuhi keperluan kritikal bekalan perubatan di Gaza berikutan konflik berterusan wilayah itu.

Katanya WHB yang merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kekal komited terhadap tanggungjawab sosial korporatnya untuk mereka yang memerlukan di peringkat tempatan serta global.

Kerajaan Selangor sebelum ini menyumbang sejumlah RM1 juta ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat Palestin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu diharap menjadi sebahagian usaha kolektif masyarakat dan negara seluruh dunia bagi mengangkat prinsip keadilan dan menentang keganasan.

Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.

Bilangan kematian rakyat Palestin akibat serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 7,028, menurut Kementerian Kesihatan Gaza setakat semalam.

Mereka yang hilang tempat tinggal di Semenanjung Gaza kini dianggarkan berjumlah 1.4 juta.


Pengarang :