Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura sumbangan Kerajaan Negeri Selangor kepada Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri Datuk Zahairi Baharim ketika majlis Penyerahan Sumbangan untuk Palestin di Bilik Mesyuarat MTES, Shah Alam pada 27 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB serah sumbangan RM1 juta, bantu ringankan sengsara Palestin

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri menyerahkan sumbangan RM1 juta kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) hari ini bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat negara itu.

Simbolik penyerahan disempurnakan Dato’ Menteri Besar dengan menyerahkan cek cura kepada Setiausaha bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negari Datuk Zahairi Baharim di bangunan pentadbiran negeri (SUK) di sini.

“Secara rasmi sumbangan ini telah disalurkan ke tabung tersebut dan realitinya sudah sampai untuk bantu mangsa kekejaman di Gaza yang semakin meningkat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas sesi penyerahan.

Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.

Sementara itu, Amirudin turut menggalakkan anak syarikat Kerajaan Negeri untuk bersama-sama menyalur sumbangan membantu warga Palestin.

“Pada 2021 Kerajaan Negeri sudah keluarkan dana untuk membeli ambulans dan peralatan kesihatan dan masih beroperasi.

“Jadi kita akan buat tindakan susulan melibatkan anak syarikat untuk tambah keperluan terutama perubatan,” katanya.

Pada 19 Oktober, Amirudin mewakili rakyat Selangor mengutuk keras kekejaman dan keganasan dilakukan rejim Israel terhadap bumi Palestin dan bersolidariti dengan semua pihak yang menegakkan keamanan serta keadilan.


Pengarang :