Bangunan Bank Negara Malaysia (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

BNM keluar notis FinTIP sebagai amaran waspada ancaman siber

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Notis Financial Sector Cyber Threat Intelligence Platform (FinTIP) adalah pemberitahuan untuk berjaga-jaga yang dikeluarkan secara rutin kepada institusi kewangan dan rakan kerjasama mereka yang berkaitan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat menjelaskan bahawa pihaknya dan industri kewangan sentiasa berkongsi maklumat mengenai kemungkinan ancaman yang berlaku dalam ruang siber.

“FinTIP sentiasa memantau landskap siber dan akan memaklumkan tentang kemungkinan ancaman baharu termasuk peningkatan aktiviti penggodaman,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu bagi mengulas mengenai notis FinTIP yang tersebar menerusi media sosial.

BNM menjelaskan bahawa notis FinTIP membolehkan institusi kewangan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi melindungi sistem mereka dan mengelakkan sebarang kemungkinan gangguan terhadap perkhidmatan kewangan.

-BERNAMA


Pengarang :