AGENSISELANGOR

Tiket masuk Muzium Permainan Tradisional, Muzium Sejarah Kuala Selangor serendah RM3

SHAH ALAM, 28 OKT: Harga tiket serendah RM3 akan dikenakan kepada pengunjung Muzium Permainan Tradisional dan Muzium Sejarah Kuala Selangor, bermula 1 November ini.

Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (Padat) menerusi Facebook memaklumkan harga tiket itu adalah bagi pengunjung tempatan, manakala pelancong luar negara pula adalah RM8.

Tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun, warga emas serta orang kurang upaya (OKU) warganegara.

Kanak-kanak, warga emas serta OKU bukan warganegara pula dikenakan tiket RM4. Percuma kepada kanak-kanak bawah umur 6 tahun.

Berdasarkan info garfik, harga tiket berkenaan merupakan bayaran kemasukan bagi dua muzium sekali gus, dan pengunjung perlu menunjukkan kad pengenalan di kaunter pembayaran.

Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati yang dibuka secara rasmi pada 14 Februari lalu mempamerkan 44 permainan tradisi dan dikunjungi secara percuma.

Muzium yang diubah suai daripada kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) itu adalah usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan permainan tradisi rakyat terus terpelihara.

Muzium Permainan Tradisional dan Muzium Sejarah Kuala Selangor dibuka setiap hari bermula 9.30 pagi hingga 5.30 petang.


Pengarang :