AGENDANASIONAL

Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia ketika tidur

BUKIT MERTAJAM, 28 OKT: Pelakon Badrul Muhayat, 55, meninggal dunia ketika tidur di sebuah rumah inap desa di Taman Pauh Jaya, pada pukul 10.50 pagi tadi.

Pelakon yang juga rakan artis Aida Aris ketika dihubungi Bernama berkata isteri Badrul Muhayat, Norhayati Zulkaply memaklumkan yang arwah tidak memberikan sebarang tindak balas ketika dikejutkan berulang kali pagi tadi.

“Kami kemudiannya menghubungi pasukan perubatan dan mengesahkan arwah telah tiada,” katanya yang sedih dengan kehilangan rakan baik.

Aida berkata kematian Badrul Muhayat atau Badrul Muhayat Ahmad Jailani, sangat mengejutkan beliau kerana arwah berada dalam keadaan baik sebelum ini.

Katanya beliau dan Badrul Muhayat berada di Pulau Pinang kerana terlibat urusan program perniagaan.

Difahamkan Allahyarham Badrul Muhayat yang pernah memenangi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 1992 itu tidak mengalami sebarang penyakit serius.

Allahyarham juga baru melangsungkan pernikahannya dengan Norhayati pada April lepas dan belum sempat mengadakan majlis resepsi yang dirancang pada hujung tahun ini.

Menerusi perkahwinannya sebelum ini dengan Julia Daud, Badrul Muhayat dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Norhayati berhubung kematian Badrul Muhayat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Jenazah Badrul Muhayat akan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

– BERNAMA


Pengarang :