EXCO Pengurusan Banjir Najwan Halimi menaiki bot penyelamat bomba pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air di Taman Tasik Cyberjaya pada 28 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 300 lemas setiap tahun, orang ramai dinasihat waspada ketika banjir

SEPANG, 28 OKT: Secara purata 302 kes lemas dilaporkan di Selangor setiap tahun mengatasi jumlah kematian akibat kebakaran dari 2019 hingga 2022, menurut EXCO pengurusan bencana.

Justeru, Najwan Halimi berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dengan kerjasama pelbagai agensi melalui Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) akan sentiasa mencari penyelesaian bagi menangani kes tersebut.

“MKAA juga amat komited melaksana pelbagai inisiatif antaranya meningkatkan kesedaran awam berhubung keselamatan aktiviti air termasuk membuat hebahan umum lebih kerap berhubung lokasi berisiko.

“Selain itu, pemantauan berterusan di kawasan tumpuan orang ramai turut dipergiat termasuk memperbanyak pemasangan papan tanda amaran dan panduan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan Kempen Keselamatan Aktiviti Air 2023 di Taman Tasik Cyberjaya di sini hari ini.

EXCO Pengurusan Banjir Najwan Halimi melihat bot polis yang dipamer pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air di Taman Tasik Cyberjaya pada 28 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Najwan juga menasihati masyarakat lebih berwaspada menghadapi MTL yang bermula November hingga Mac tahun depan.

“Kita juga mempunyai tanggungjawab untuk menasihatkan orang awam terutamanya ibu bapa, supaya memastikan mereka sentiasa mengambil langkah keselamatan.

“Kita juga perlu memantau aktiviti keluarga dan anak-anak sekiranya mengunjungi mana-mana tempat perkelahan, pantai, sungai, air terjun dan sebagainya terutamanya dalam tempoh MTL ini,” jelasnya.


Pengarang :