AGENDANASIONAL

Lelaki warga emas maut kereta dihempap pokok

ALOR SETAR, 29 OKT: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Payong dekat Pokok Sena, petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pokok Sena Pegawai Bomba Kanan II Shahrin Musa berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu kira-kira 3.20 petang.

Beliau berkata anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Hyundai yang menyebabkan pemandunya, Ool Book Khak, 74, terperangkap dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa (Ool) menggunakan peralatan khas dan bantuan sebuah jentolak. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata kerja memotong pokok berkenaan dilakukan menggunakan gergaji berantai dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 5 petang.

– BERNAMA


Pengarang :