GOMBAK, 30 OKT: Kerajaan Negeri bersikap terbuka dan sentiasa berusaha mengimbangi pembangunan dan kemajuan semua kaum di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu termasuklah menjayakan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) kepada komuniti itu sejak empat tahun lalu.
Menurutnya Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan Sitham tahun lalu dan berhasrat meningkatkan jumlah itu pada masa depan.
“Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang terbuka. Kita akan tumpukan keresahan yang ada. Dengan itu, kita boleh bentuk kestabilan di negeri ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/P_MinumPetangAktivisKeadilan-7-500x333.jpg.webp)
“Kita jaga kebajikan bukan ikut warna kulit. Tahun lepas kita bagi RM1 juta untuk Sitham. Tahun akan datang mungkin RM3 atau RM4 juta untuk masyarakat India,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Minum Petang Bersama Aktivis KEADILAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Hotel Mercure di sini semalam.
Minggu lalu, Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memaklumkan telah berbelanja RM2.9 juta bagi menjayakan program Sitham sejak empat tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah berkata sepanjang tempoh itu, 3,730 usahawan dibimbing menerusi latihan pembangunan, kursus kemahiran dan pembuatan.