Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Adi Faizal Ahmad Tarmizi ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis bil 10/2023 di Menara MPS pada 30 Oktober 2023. Foto MPS
PBTSELANGOR

MPS kutip RM90.98 juta cukai taksiran semasa setakat September

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 30 OKT: Sejumlah RM90.98 juta cukai taksiran semasa dikutip Majlis Perbandaran Selayang (MPS) setakat September.

Timbalan Yang Dipertua Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata jumlah itu mencapai 79.27 peratus daripada jumlah sasaran iaitu RM114.78 juta untuk 2023.

“Bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula, sebanyak RM8.85 juta atau 73.72 peratus berjaya diperoleh daripada jumlah keseluruhan tunggakan sebanyak RM12 juta,” katanya pada mesyuarat MPS hari ini.

Jelas beliau, MPS meneruskan kempen bayaran cukai taksiran secara dalam talian menerusi aplikasi MyMPS, Lazada, Shopee dan Cepat yang bermula sejak Januari lalu.

Adi Faizal turut memaklumkan MPS bersiap siaga menghadapi banjir sempena peralihan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

“Jabatan teknikal MPS telah diarahkan untuk bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir dengan memberi fokus ke atas kawasan panas banjir dan juga tanah runtuh di kawasan pentadbiran MPS.

“Insya-Allah melalui persediaan awal ini, banyak perkara yang tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.


Pengarang :