AGENDAJENAYAH

Bapa tumbuk, libas parang kerana anak bermalam di rumah ibu saudara

IPOH, 30 OKT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera akibat ditumbuk dan ditendang bapa kandung semasa berada di rumah ibu saudaranya di Kampung Perah, Gerik, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika suspek berusia 37 tahun datang ke rumah pengadu yang merupakan wanita warga Thailand berusia 35 tahun, pada kira-kira 5 petang.

“Suspek kemudian bertindak menumbuk dan menendang belakang badan kanak-kanak itu, serta melibas sebilah parang yang berada di tangannya dan hampir mengenai mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, wanita tersebut telah membawa mangsa ke rumahnya bagi menyambut hari lahir anak saudaranya itu pada kira-kira 6 petang Sabtu lepas.

Menurutnya kanak-kanak itu telah bermalam di rumah ibu saudaranya itu dan akan dihantar pulang pada lewat petang keesokan hari.

Zulkifli berkata susulan kejadian itu, adik ipar pengadu telah membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan mendapati kanak-kanak tersebut mengalami ‘soft tissue injury’ atau kecederaan tisu lembut pada belakang badan dan paha.

Menurutnya polis masih menyiasat punca kejadian dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

-BERNAMA


Pengarang :