Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan Aedy Fadly Ramli (tengah) pada sidang media sempena Ops Pemandu Warga Asing di Persiaran Budiman Seksyen 25 Shah Alam pada 30 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cadangan naik taraf lesen motosikal B2 ke B di peringkat akhir penelitian

MELAKA, 31 OKT: Cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik sedang dalam peringkat akhir penelitian Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pelaksanaan cadangan itu dijangka dibentangkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selewat-lewatnya akhir tahun ini, sebelum pengumuman dilakukan.

“Cadangan berkenaan melibatkan dasar dan JPJ menunggu keputusan daripada MOT sebelum ia dibentang untuk pelaksanaan.

“Kalau perlu bawa ke Jemaah Menteri, kita akan bawa (cadangan pelaksanaan)… dalam tahun ini juga kita akan selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup MyLesen Peringkat Negeri Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Ogos lalu, media melaporkan Ahmad Zahid memberi cadangan kepada MOT untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata pihaknya sedang mengatur gerak kerja bagi mengenal pasti calon yang layak mendapatkan lesen B2 secara percuma di bawah program MyLesen bagi tahun hadapan.

Beliau berkata usaha berkenaan akan dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat negeri agar sasaran 40,000 belia dalam kalangan B40 mendapat manfaat berkenaan.

Menurut Aedy Fadly di bawah program sama pada tahun ini, setakat hari ini, 8,715 individu dalam kalangan B40 di seluruh negara daripada keseluruhan sasaran 9,000 calon mendapat lesen motosikal B2 melibatkan peruntukan RM2.7 juta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 298 orang penerima merupakan peserta dari Melaka dan setiap seorang daripada mereka dibiayai kos latihan dan ujian sebanyak RM300.

Sementara itu, katanya bekalan lesen kenderaan motor (LKM) dan geran kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) fizikal adalah mencukupi di setiap kaunter perkhidmatan di Pejabat JPJ negeri.

“Jika ada pun (LKM atau VOC tidak mencukupi), ia melibatkan isu penghantaran dan kita telah menyelesaikannya, jadi orang ramai tidak perlu risau,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :