Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PDRM hasrat pinda dua kanun, tekad tangani jenayah siber

SHAH ALAM, 1 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat untuk meminda dua undang-undang iaitu Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi menangani kes jenayah siber dengan lebih berkesan seiring perkembangan teknologi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya sedang memperhalusi cadangan PDRM dan perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak terutama Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Saya harus akui walaupun kerangka perundangan ketika ini memberi kuasa mencukupi kepada PDRM dalam menangani jenayah siber, namun teknologi maklumat dan komunikasi berkembang begitu cepat.

“Jadi, sentiasa wujud ruang dan keperluan untuk kita tambah baik kerangka perundangan diperlukan dari semasa ke semasa. Cadangan pindaan yang akan disyorkan perlu mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul menambah, pegawai PDRM turut dihantar menyertai kursus sama ada di dalam atau luar negara bagi mendapatkan pendedahan teknologi kerana perkembangan jenayah siber semakin berleluasa.

“Tahap pengetahuan dan kepakaran PDRM dari semasa ke semasa akan ditingkatkan dan memperkasakan kemudahan terutama makmal forensik menyedari perkembangan jenayah atas talian makin berleluasa.

“Usaha ini menelan belanja besar, namun perlu dilakukan supaya jenayah ini dapat ditangani dengan baik serta selamatkan rakyat negara ini,” katanya.


Pengarang :