SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan kad diskaun khas buat peniaga Menu Rahmah mulai esok.
Pemangku Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata insentif itu membolehkan peniaga menikmati potongan harga bagi pembelian bahan mentah di enam pasar raya terpilih.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/menteri-500x333.jpg.webp)
“Potongan harga membabitkan enam pasar raya yang bekerjasama dengan KPDN.
“Esok saya akan turun bersama Timbalan Menteri (KPDN) bagi satu inisiatif terbaharu iaitu penawaran kad diskaun rahmah kepada pengusaha kafe dan restoran terlibat.
“Ia sebagai tanda penghargaan buat peniaga yang menyokong usaha kerajaan melalui Menu Rahmah,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 mewakili KPDN.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/03/FW1291776_JB03_10032023_RAHMAH-500x333.jpg)
Selain itu, Armizan memaklumkan kementeriannya akan memperkasakan Program Jualan Rahmah (PJR) di seluruh negara bagi membantu rakyat berpendapatan rendah.
“Program dirancang dilaksanakan dengan kekerapan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.
“PJR akan diperluaskan melalui kaedah bergerak supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada jualan murah yang ditawarkan,” katanya.