EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari merasmikan majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja (MamaKerja) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Ibu bekerja mahu guna insentif RM1,000 tampung belanja anak

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 1 NOV: Insentif MamaKerja RM1,000 kepada wanita bekerja dan mempunyai anak kecil memberi kelegaan kepada golongan itu yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Pembantu akaun, Izzati Alia Mohd Ashar, 35, berkata bantuan sekali bayar itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan anak-anaknya.

Izzati Alia Mohd Ashar

“Saya baru sahaja melahirkan zuriat ketiga dua bulan lalu dan akan naik bekerja semula pada pertengahan November ini.

“Jika ada rezeki dengan permohonan ini, sudah pasti saya akan manfaatnya dengan perbelanjaan anak-anak yang semakin membesar termasuklah menyimpan lebihan untuk kegunaan kecemasan,” katanya.

Pekerja swasta, Nurulfarahshah Jamil, 35, pula berkata beliau mengetahui mengenai insentif itu melalui rakan-rakan selain membacanya di portal Selangorkini.

“Saya mempunyai tiga orang anak berusia empat hingga sembilan tahun. Perbelanjaan anak-anak bersekolah dan seorang anak masih tidak bersekolah juga tinggi ketika ini.

Nurulfarahshah Jamil

“Saya bersyukur Kerajaan Negeri prihatin dengan golongan wanita bekerja dan sudah pasti wang tunai yang diterima bukanlah untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya sebaliknya digunakan sebaik-baiknya untuk masa hadapan,” katanya.

Minggu lalu, Anfaal mengumumkan insentif untuk wanita bekerja yang merupakan antara manifesto Kerajaan Negeri ditawarkan kepada rakyat ketika pilihan raya negeri pada Ogos.

Melibatkan peruntukan RM5 juta, skim layak dimohon wanita bekerja memiliki tiga anak berusia bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000 dan bantuan diterima selepas 14 hari permohonan.

Syarat kelayakan lain seperti berikut:

  • Wanita bekerja dan bermajikan
  • Rakyat Selangor (lahir di Selangor atau bermastautin di Selangor melebihi 10 tahun)
  • Mengundi di SelangorBerpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah
  • Individu yang mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Tunas

Insentif tersebut boleh dimohon melalui https://mamakerja.selangkah.my/ atau boleh diajukan pertanyaan di talian Selcare 1-800-22-6600.


Pengarang :