BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Gus Dur tidak musuhi media meski kecewa laporan tidak tepat, berat sebelah 

Gus Dur kecewa dengan laporan media dalam negeri dan antarabangsa yang tidak tepat serta berat sebelah tentang kerajaannya.

Namun, beliau terus berpegang dengan pendirian untuk tidak mengganggu kebebasan media, meski pun beliau adakalanya merungut tentang liputan berita.

Semua ketua kerajaan, hatta dalam demokrasi yang telah stabil dan matang, mempunyai sebab untuk merungut tentang media, lebih-lebih lagi Presiden Indonesia yang sedang dirundung malang itu.

Gus Dur menelan tuduhan pahit bahawa beliau memusuhi media, sedangkan ketika banyak cerita yang diterbitkan tentangnya adalah palsu dan berhak untuk dikenakan tindakan undang-undang, beliau tetap tidak mengambil apa-apa tindakan kerana bimbang ia akan meracuni persekitaran media dan memberi contoh tidak baik yang akan digunakan untuk menggertak media oleh pemimpin lain di masa depan.

Perlu diakui bahawa gaya Gus Dur yang aneh laku dan berwarna-warni mudah mengundang salah faham. Kenyataan-kenyataan beliau yang dibuat secara berseloroh atau pada asasnya berbentuk hiperbola ditanggapi secara terlalu lahiriah.

Gus Dur telah agak lama meyakini bahawa beliau sedang berdepan dengan rancangan tersusun media untuk memfitnah dirinya dan memusnahkan citranya.

Semua stesen TV dimiliki sama ada oleh anggota keluarga mantan presiden atau sekutu-sekutu rapat mereka. Manakala banyak akhbar harian dan majalah berita mingguan mempunyai kaitan dengan tokoh-tokoh ternama dari rejim lama.

Maka keyakinan beliau itu boleh difahami. Tetapi tidak dapat dinafikan juga bahawa pendekatan Gus Dur yang berterus-terang dan kerap pula cuai sering membebankan dirinya sendiri.

Bahasa jihad

Perbezaan budaya antara Nahdlatul Ulama (NU) yang berpusat di kawasan desa dan masyarakat elit bandar pula telah menimbulkan salah faham serta dijadikan peluru oleh musuh-musuh politik Gus Dur.

Itulah perkara yang melatari kejadian dalam bulan April, ketika Gus Dur berdepan dengan serangkaian masalah yang mengaibkan apabila anggota-anggota NU yang bersemangat tampil membela presiden mereka yang sedang dirundung malang itu.

Di mata kebanyakan anggota NU yang miskin dan kampungan, seperti telah disebut, serangan ke atas Gus Dur adalah juga satu percubaan rejim lama untuk kembali berkuasa dan mengorbankan demokrasi.

Pada 4 April, Gus Dur secara terbuka menyelar para penyokong NU yang menggunakan bahasa jihad terhadap golongan yang cuba memecatnya.

“Presiden tidak setuju sama sekali cara melampau yang dianjurkan oleh sesetengah pihak untuk membela beliau,” kata jurucakap presiden, Adhi Massardi.

Tarikh 30 April, iaitu hari yang ditetapkan untuk parlimen mengundi memorandum celaan kedua, semakin hampir. Puluhan ribu anggota NU yang mengancam untuk turun ke Jakarta bagi membela Gus Dur hanya memberatkan lagi masalahnya.

Berkali-kali beliau menyelar para pembantah itu, selain berusaha dari belakang tabir untuk menyekat mereka daripada turun ke Jakarta.

Mercedes hitam

Namun, semua itu tidak menyelamatkannya daripada kritikan berterusan media dalam negeri dan antarabangsa, yang mendakwa beliau sanggup menggunakan kekerasan dan jalan tidak demokratik untuk mempertahankan kedudukan.

Dalam siaran langsung menerusi TV pada malam 27 April, Wimar Witoelar membacakan ucapan Gus Dur yang dikarang dengan cermat.

Ucapan itu menyatakan kekagumannya terhadap Megawati, penghargaan atas sokongannya, serta keperluan untuk terus melangkah dan bekerjasama.

Beliau menjelaskan bahawa prestasinya sebagai presiden kurang bagus kerana beliau memerintah di tengah perubahan rejim dan menghadapi banyak kesukaran besar.

Jika ucapan sedemikian dibuat beberapa bulan atau bahkan beberapa minggu yang lalu, mungkin ia lebih berkesan, tetapi sekurang-kurangnya kini ia dapat menenangkan keadaan.

Bagaimanapun banyak pihak menganggap “nasi sudah menjadi bubur” dan tidak berminat untuk memberikan Gus Dur pujian.

Hari terakhir Gus Dur di Istana Presiden tampak bersesuaian dengan dirinya. Pada awal pagi, beliau dikunjungi sekumpulan sami Buddha berjubah kuning cempaka.

Setelah itu beliau dikunjungi beberapa lagi kumpulan pemimpin agama dan masyarakat. Seperti dijangka, sekumpulan pemimpin Islam turut datang bagi mendoakan kesejahteraannya.

Lawatan yang agak mengejutkan dibuat oleh seorang pekerja biasa yang juga penganut Kristian yang taat. Dengan suara yang bergetar dengan perasaan sedih, wanita Kristian itu membacakan sepotong ayat dari Injil dan kemudian duduk bersama Gus Dur di meja.

Sambil memegang tangan Gus Dur, beliau memanjatkan doa untuk tokoh itu dan negara, seterusnya menyapu sedikit minyak (‘minyak’ yang digunakannya itu sebenarnya pewangi bernama “Eternity”!) kepada Gus Dur.

Tidak lama setelah itu, Gus Dur bersama isteri dan anak-anaknya buat kali terakhir duduk di bahagian depan dewan keraian yang berada di ruang tengah istana.

Ratusan kakitangan istana membentuk satu barisan yang melingkar empat lapis dalam dewan itu untuk mengucapkan selamat jalan kepada Gus Dur dan keluarga.

Selesai acara yang menghibakan itu, Gus Dur dipapah masuk ke pejabatnya untuk bertemu pesaing lama beliau, Hamzah Haz, yang baru beberapa minit lalu dipilih sebagai timbalan presiden.

Pada jam empat, beliau mengambil tempat di kerusi belakang Mercedes hitam yang besar dan dipandu keluar dari pintu gerbang istana buat kali terakhir.

Kali ini beliau keluar menerusi pintu belakang dan kereta itu tidak lagi memakai plat merah “Indonesia 1”. Dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menaiki pesawat komersial ke Washington, beliau singgah di Lapangan Merdeka yang berada di seberang Istana Presiden.

Di sana Gus Dur menyampaikan ucapan kepada ribuan orang daripada puluhan pertubuhan.

Kepada khalayak yang sedang berduka itu, beliau meminta mereka mengawal perasaan dan berikrar untuk meneruskan perjuangan panjang ke arah pembaharuan dari luar istana. Sepanduk-sepanduk yang diangkat dalam perhimpunan itu bertulis: Selamat Pulang

 

Petikan muka surat 424-466 buku Dari Pesantren Ke Istana: Biografi Presiden ke-4 Indonesia Kiai Haji Abdurrahman Wahid, terjemahan Abdurrahman Wahid: Muslim Democrat, Indonesian President tulisan Greg Barton. Ia boleh dibeli melalui bukuibde.com atau di toko Rencana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.


Pengarang :