SUBANG JAYA, 2 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengadakan sesi latih amal kesiapsiagaan bersama tiga agensi keselamatan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali berkata simulasi dua hari sejak semalam bertujuan melatih anggota penyelamat berdepan senario sebenar bencana.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/image_6487327-34-e1698904659128-500x374.jpg)
“Hari ini kita mengadakan sesi latihan keselamatan bersama pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya dan Serdang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Konteks kesiapsiagaan MBSJ dalam menghadapi MTL bukan sahaja meliputi aset penyelamat dan fasiliti tetapi juga persediaan anggota dalam berdepan cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sesi latihan berkenaan di Tasik Puchong Prima di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dan Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan.
Mohd Zulkurnain berkata latihan amal itu melibatkan 110 anggota Pasukan Tindakan Pantas (PANTAS) dengan kekuatan 12 aset penyelamat daripada semua agensi berkaitan.
Menurutnya, latihan yang dikelola JPBM dari Zon Petaling membabitkan pendedahan kepada aspek pengemudian bot, penyelamatan dan pemindahan mangsa.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/11-3-500x333.jpg.webp)
Sebelum ini, pengarah JPBM Selangor berkata 390 lokasi berisiko banjir dengan Hulu Langat mencatatkan bilangan kawasan tertinggi iaitu 78 dan Klang (65).
Wan Md Razali Wan Ismail menambah Sepang turut mencatatkan lokasi berisiko banjir melibatkan 54 kawasan diikuti Kuala Selangor (51), Petaling (44), Gombak (33), Kuala Langat (30), Sabak Bernam (20) dan Hulu Selangor (15).