Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan Majlis Pentauliahan Skuad Waja Insaniah 2023 pada 2 November 2023. Foto Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM
AGENDANASIONAL

Skuad wanita antijenayah bantu tangani kes dera kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kes penderaan kanak-kanak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 menuntut agar peranan Skuad Wanita Anti Jenayah (Waja) diperluas sebagai Pembantu Pelindung Kanak-Kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ahli Skuad Waja yang terpilih akan ditauliahkan sebagai ahli Skuad Waja Insaniah yang akan bertindak sebagai ‘penggerak balas pertama’ bagi membantu pegawai pelindung memelihara dan melindungi kanak-kanak yang didera dan diabaikan termasuk penderaan seksual.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dilaporkan sebanyak 5,858 kes pada 2020 meningkat kepada 6,144 kes pada 2021. Angka ini terus meningkat kepada 6,770 kes pada 2022 manakala bagi Januari hingga Mei tahun ini, JKM mengendalikan 2,959 kes melibatkan penderaan dan pengabaian berbentuk penderaan fizikal, seksual dan emosi.

“Peningkatan kes penderaan kanak-kanak membimbangkan kerana kebanyakannya melibatkan pelaku yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa seperti ibu bapa, penjaga, datuk, kekasih ibu, bapa tiri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pentauliahan Skuad Waja Insaniah 2023 hari ini.

Nancy berkata sejak ditubuhkan pada 8 Mac 2021, Skuad Waja yang berperanan memperkasa komuniti melalui program bimbingan psikososial termasuk menangani isu keganasan terhadap wanita mempunyai keahlian 328,558 sehingga Disember tahun lalu.

“Bagi Skuad Waja Insaniah yang terdiri daripada ahli Skuad Waja sendiri, seramai 330 peserta telah terlibat dalam program latihan yang dilaksanakan sejak Mei hingga Julai lalu. Mereka diberi latihan melalui kombinasi Modul Skuad Waja 2.0 dan Latihan Pembantu Pelindung Kanak-Kanak oleh JKM,” katanya.

Dalam sidang media kemudiannya, Nancy berkata ahli Skuad Waja Insaniah diberikan latihan serta penerangan mengenai prosedur bagi memberi respons terhadap kes yang diterima untuk memastikan mereka bersedia.

“Kita beri latihan supaya mereka bersedia, kita tidak mahu jika ada aduan dibuat mereka pula emosi… jadi mereka juga kena siap sedia dari segi emosi.

“Latihan akan diberikan dari semasa ke semasa bagi memastikan prosedur yang mereka laksanakan nanti bersesuaian dengan setiap kes… kadang-kadang kes penderaan mungkin nampak sama tetapi pendekatannya adakalanya berbeza. Selepas ini akan ada lebih ramai lagi ahli Skuad Waja Insaniah ditauliah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :