Orang ramai hadir menyaksikan persembahan artis tempatan di Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Pengecualian duti hiburan lonjak industri seni tempatan

Oleh NORRASYIDAH ARSHAD & SHEEDA FATHIL

Pengurangan duti hiburan dalam Belanjawan 2024 bagaikan cahaya di hujung lorong buat penggiat seni tempatan yang selama ini terbeban lantaran terpaksa menanggung cukai tersebut.

Mereka terpaksa memikul bebanan tersebut meski keuntungan bersih dari penghasilan produk kreatif tidak seberapa kerana terikat syarat wajib pembayaran duti berkenaan.

Bekas penyanyi rap arus perdana Altimet yang popular dengan lagu Amboi dan Kalau Aku Kaya percaya pengurangan duti membantu masyarakat seni untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

Inisiatif sedemikian berupaya mengurangkan beban kos penganjuran acara seni sekali gus artis tempatan berpeluang memperoleh bayaran lebih tinggi setiap kali mengadakan persembahan.

Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad percaya pengurangan duti membantu masyarakat seni untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

“Pengurangan duti memberi pulangan besar kepada penganjur. Ini memberi tempias kepada artis dan mendapat bayaran lebih tinggi,” kata pemilik sebenar nama Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.

Justeru, Altimet yang kini wakil rakyat Lembah Jaya mengajak kerajaan negeri lain mencontohi langkah yang asalnya dipelopori Selangor demi memajukan lagi industri kreatif di Malaysia.

Selangor memberi pengecualian setahun untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) melibatkan artis tempatan tahun lalu. Ia kemudian diperluas kepada Wilayah Persekutuan dalam belanjawan yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan mahu memberi pengecualian penuh untuk persembahan pentas artis tempatan dan 10 peratus bagi artis antarabangsa serta acara hiburan lain termasuk tayangan filem, acara sukan dan permainan.

Anwar dalam pembentangan pada 13 Oktober juga menyeru kerajaan negeri supaya mempertimbang pengurangan sama demi menyokong perkembangan bakat kreatif tempatan.

Mengalu-alukan langkah tersebut, Dr Mohammad Hatta Azad Khan yang mengarahkan sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu berkata kos untuk berkarya besar sedangkan pulangannya berisiko.

Pengarah filem Mat Som itu juga berharap kutipan duti dipulangkan kepada penerbit seperti amalan sebelum ini, apatah lagi pawagam mengambil peratusan tinggi hingga membebankan produksi.

“Pemulangan duti kepada penerbit membantu mengimbangi kos penerbitan dan pulangan, setidak-tidaknya memberi sedikit keuntungan untuk memulakan produksi akan datang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pengurangan duti diselaras semua negeri atau dimansuhkan terus pada masa depan bagi mengembalikan kegemilangan industri kreatif di negara ini.

“Contoh terbaik seperti di Korea. Teater, filem, muzik, sastera, seni lukis semuanya wajar dilihat sebagai identiti nasional yang menyerlahkan negara di mata dunia,” katanya.

Pengarah dan pelakon Hans Isaac pula berharap penganjur acara termasuk konsert tidak mengambil kesempatan terhadap pengurangan itu sebaliknya mengecilkan caj kepada orang ramai.

“Mereka janganlah kenakan caj konsert mahal sangat. Kerajaan sudah beri peluang, sepatutnya apabila tiada 25 peratus duti hiburan, caj tidak sepatutnya tinggi,” katanya.

Gah tanpa kemewahan

Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu juga menyarankan kaedah pengurangan duti dibuat lebih terperinci supaya semua pihak jelas tanpa kekeliruan.


Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hans Isaac berharap penganjur acara termasuk konsert tidak mengambil kesempatan terhadap pengurangan itu sebaliknya mengecilkan caj kepada orang ramai.

Sementara itu, pengurus acara yang kerap menganjur konsert antaranya kumpulan Slam, Radja dan Kris Dayanti, Fandy Alias mendedahkan industri muzik cuma gah di mata banyak sedangkan ia tidak semewah seperti sangkaan ramai.

“Ya, orang nampak dunia seni itu seronok, mewah. Kita panggil artis sana sini, buat konsert besar-besar. Nampak seronok tetapi di sebaliknya hanya kami sahaja yang tahu.

“Jadi, apabila perdana menteri umum mahu mansuh duti hiburan, ini satu bonus sebab kami mampu menjana pendapatan tinggi, yang lebih utama industri hiburan kita mampu pergi jauh,” katanya.

Fandy juga mengeluh kerana penganjur konsert perlu membayar antara 15 hingga 25 peratus harga jualan tiket kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapat permit dan lesen.

“Sebelum mula konsert, PBT minta rekod tempahan tiket. Daripada situ, mereka kenakan cukai kepada kita. Cukai bukan dikenakan selepas keuntungan bersih tetapi nilai kasar.

“Contohnya, kita kutip RM100,000. Kos penganjuran RM60,000. Dari situ, kena bayar 25 peratus kepada PBT. Jadi, untung bersih tidak banyak. Selepas tolak kos, berapa sahaja yang tinggal?” katanya.

Sutradara Datuk Prof A Razak Mohaideen pula menganggap bebanan duti hiburan boleh ‘membunuh’ industri hiburan sekali gus membantutkan perkembangan seni tanah air.

Pengarah filem Mami Jarum itu sentiasa berharap kutipan sekali ganda kos pembikinan bagi memperoleh keuntungan kerana membayar 25 peratus kepada kerajaan negeri dan pawagam.

“Sebabnya, 25 peratus kena beri kepada kerajaan negeri. Untuk pawagam, minggu pertama kena bayar 45 peratus, minggu kedua 50 peratus, minggu ketiga 55 peratus. Berapa yang tinggal?

“Dengan ada untung, baru produser dapat buat filem lain tapi kalau tidak, ini memberi kesan,” kata pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara itu.


Pengarang :