Ahli Dewan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid ditemui ketika meninjau perjalanan Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri Meru di Jalan Sungai Kapar Indah 3, Klang pada 11 Oktober 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Belanjawan: Lebih banyak peruntukan atasi banjir, kebajikan rakyat

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 2 NOV: Ahli Dewan Undangan (ADN) Meru yakin Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan lebih tinggi pada Belanjawan Selangor 2024 dalam usaha menangani isu banjir.

Mariam Abdul Rashid berkata beberapa longkang dan parit yang menjadi punca banjir di kawasan itu kini dalam proses penyelenggaraan sebagai langkah segera menghadapi peralihan monsun.

“Sementara projek pembinaan empat kolam tadahan yang merupakan usaha jangka panjang menangani isu banjir akan bermula awal tahun depan dengan tempoh pelaksanaan dijangka dua tahun.

“Pastinya peruntukan yang diterima akan digunakan sebaik mungkin kerana rakyat mahukan perubahan bukan sahaja daripada segi ekonominya tetapi infrastruktur di Meru terutamanya masalah banjir yang perlu diatasi segera,” katanya.

Mariam juga berharap belanjawan memberi tumpuan lebih kepada isu kebajikan rakyat memandangkan hampir separuh penduduk DUN berkenaan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

“Saya berharap peruntukan lebih diberikan untuk kita sama-sama membantu golongan yang memerlukan dan ini termasuklah mengurangkan bebanan golongan orang kurang upaya,” katanya.

Belanjawan Selangor dibentang pada 10 November ini oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di persidangan Dewan Negeri Selangor.

Bagi belanjawan negeri tahun ini, sejumlah RM2.45 bilion diluluskan melibatkan perbelanjaan pengurusan berjumlah RM1.25 bilion manakala pembangunan pula sebanyak RM1.2 bilion.


Pengarang :