Pasukan Selangor ketika sidang media Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri 2 di Seri Selangor Golf Club pada 2 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Kejohanan golf remaja gilap bakat muda, lahir generasi pelapis

PETALING JAYA, 3 NOV: Penganjuran Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 merupakan titik permulaan dalam sukan terbabit bagi menggilap bakat muda.

Pemain golf nombor satu Malaysia, Gavin Kyle Green berkata kerjasama pelbagai pihak dalam menganjurkan program seperti ini merupakan satu sistem sokongan yang sangat baik.

“Program ini bagus untuk remaja kerana mereka dapat berlatih dan berjumpa dengan pemain luar sekali gus menimba pengalaman. Saya gembira kerana program ini dapat melahirkan generasi baru dalam sukan golf.

Pemain golf nombor satu Malaysia, Gavin Kyle Green ketika sidang media Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri 2 di Kelab Golf Seri Selangor pada 2 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saranan saya kepada pemain remaja khususnya Malaysia manfaatkan program ini dan jika dapat bermain di luar negara seperti Thailand atau Eropah jangan lepaskan peluang. Ini titik permulaan untuk mereka menjadi pelapis dalam sukan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, mewakili Selangor G Aarthi, 16, berkata beliau teruja menyertai kejohanan terbabit kerana berpeluang meningkatkan tahap permainan.

“Saya pernah menyertai siri pertama dan berdasarkan pengalaman kejohanan ini amat membantu kerana dapat bersaing dengan individu lain.

Pemain Selangor, G Aarthi ketika sidang media Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri 2 di Kelab Golf Seri Selangor pada 2 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Cabaran memang sengit terutama dari Thailand tetapi saya cuba buat yang terbaik dan mengharumkan nama Selangor serta Malaysia,” katanya.

Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 kembali dianjurkan di Kelab Golf Seri Selangor selama tiga hari bermula hari ini.

Kejohanan siri kedua yang menampilkan Kerajaan Selangor sebagai penaja utama menyaksikan 96 pemain remaja bakal berentap dalam dua kategori iaitu kumpulan dan individu.


Pengarang :