AGENDAJENAYAH

Kereta api langgar 14 ekor lembu, 336 penumpang, lima kru terselamat

KUANTAN, 3 NOV: Seramai 336 penumpang dan lima kru kereta api Ekspres Rakyat Timuran (ERT) terselamat selepas tren dinaiki mereka merempuh 14 ekor lembu di KM84.50 – KM84.75 antara Stesen Bahau dan Stesen Triang, Bera kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata dalam kejadian sekitar 3.10 pagi itu tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata pelanggaran itu mengakibatkan semua lembu itu mati selain berlaku kerosakan pada tren lapan gerabak itu antaranya di bahagian enjin.

“Perjalanan tren dari Gemas, Negeri Sembilan ke Tumpat, Kelantan itu kemudian diteruskan selepas pemeriksaan kerosakan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata insiden berkenaan bukannya yang pertama dilaporkan di lokasi berkenaan, berikutan telah berlaku kejadian sama pada 31 Oktober lalu apabila tren membawa 400 penumpang melanggar lima ekor lembu.

Beliau berkata tindakan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak terbabit termasuk penternak yang perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga haiwan ternakan mereka.

“Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkaitan perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk pada masa akan datang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :