HULU LANGAT, 3 NOV: Pembukaan jejambat menghubungkan kawasan pembangunan Youcity di Cheras dengan Lebuhraya Cheras-Kajang yang bermula malam ini bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas sekitarnya.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata jejambat yang menjadi jalan alternatif mengatasi kesesakan di Taman Suntex itu bakal memanfaatkan 10,000 hingga 15,000 penduduk di 15 taman perumahan sekitar.
Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta menjelaskan jejambat sepanjang 420 meter itu juga secara tidak langsung mengurangkan kesesakan di Jalan Koop Cuepacs 3 dan Jalan PGA yang sebelum ini digunakan sebagai laluan utama ke Lebuhraya Cheras-Kajang arah Kuala Lumpur.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/Jejambat4-500x321.jpg.webp)
“Selain menyuraikan trafik dan kesesakan lalu lintas ia menjadi jalan alternatif untuk kawasan taman yang sebelum ini menggunakan Jalan PGA Batu 7 1/2 untuk ke lebuh raya berkenaan.
“Pembukaannya mampu mengurangkan kesesakan pada waktu puncak pada kadar 30 hingga 40 peratus dan menjimatkan waktu perjalanan,” katanya selepas merasmikan pembukaan jejambat dari pembangunan Youcity ke Lebuhraya Cheras-Kajang di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata pembukaan jejambat itu sudah pasti melegakan penduduk sekitar.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/Jejambat8-500x330.jpg.webp)
“Ketika kempen pilihan raya negeri lalu mereka ada buat aduan kerana jejambat ini masih belum dibuka, jadi saya ambil inisiatif hubungi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Alhamdulillah hari ini sudah dibuka. Ini adalah usaha bersama semua pihak termasuk wakil rakyat dan Ahli Majlis terdahulu. Bagi saya jalan untuk kegunaan awam tak perlu dilengah-lengahkan, lebih cepat lebih baik,” katanya.