Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz (tiga, kanan) bersama Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta (tiga, kiri) dan Pengarah Urusan OSK Property Ong Ghee Bin (kiri) pada majlis perasmian jejambat daripada pembangunan YouCity ke Lebuhraya Grand Saga di Taman Suntex, Kajang pada 3 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Projek penyuraian trafik, tebatan banjir diharap antara agenda Belanjawan Selangor

HULU LANGAT, 3 NOV: Isu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan projek tebatan banjir diharap menjadi antara agenda dalam Belanjawan Selangor 2024 yang akan dibentang pada 10 November ini.

Ahli Dewan Negeri DUN Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata perkara tersebut dibangkitkan penduduk di kawasannya yang mahu melihat projek penyuraian trafik dan tebatan banjir dapat direalisasikan tahun depan.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz bercakap kepada media selepas majlis perasmian jejambat daripada pembangunan YouCity ke Lebuhraya Grand Saga di Taman Suntex, Kajang pada 3 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya harap dalam Belanjawan Selangor 2024, projek tebatan banjir dan infrastruktur jalan raya bagi atasi kesesakan lalu lintas dapat diberi keutamaan dan disegerakan.

“Contohnya selepas banjir 2021 perparitan banyak yang tersumbat. Jika ini kita tidak segerakan saya khuatir berlaku banjir besar lagi yang sebelum ini pernah jejaskan hampir 7,000 rumah. Jadi saya tidak mahu ia berlaku lagi,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian pembukaan jejambat dari pembangunan Youcity, Cheras ke Lebuhraya Cheras-Kajang yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta, semalam.

Sebelum ini EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan setakat Ogos lalu 25 daripada 85 projek tebatan banjir di negeri ini berjaya diselesaikan dengan peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri kira-kira RM1.11 bilion.

Selebihnya masih di peringkat perlaksanaan (kerja fizikal), prapelaksanaan (reka bentuk) dan perancangan (lantikan perunding) yang dijangka diselesaikan secara berperingkat hingga 2025.

 


Pengarang :