Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan semasa sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Aidilfitri Peringkat Kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 20 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua lelaki godam papan menu restoran makanan segera ditahan

SHAH ALAM, 3 NOV: Polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana disyaki menggodam papan menu digital sebuah restoran makanan segera di Kuala Langat, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dua lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada pengurus restoran makanan segera itu memaklumkan papan menu makanannya telah digodam dengan tiba-tiba berubah kepada paparan gambar produk makanan mengandungi darah, bom, peluru dan tulisan ‘Proud Sponsors of Israeli Terorrism’.

“Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 selain turut merampas telefon bimbit kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 5 Nov bagi membantu siasatan.

-BERNAMA


Pengarang :