Keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JMG kenal pasti 31 lokasi berisiko tanah runtuh seluruh negara

SHAH ALAM, 4 NOV: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti 31 lokasi risiko tanah runtuh di seluruh negara berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarahnya Datuk Zamri Ramli berkata antara kawasan terlibat termasuklah di sekitar Lembah Klang, Tanjung Bungah dan Paya Terubong di Pulau Pinang, Ipoh dan Cameron Highlands (Perak), Kundasang (Sabah) dan Bau di (Sarawak).

“Sebagai tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana geologi tanah runtuh menjelang MTL yang dijangka bermula November, JMG melaksanakan pemantauan terhadap 254 cerun kritikal di seluruh negara.

“Sejumlah 104 lokasi cerun diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi dan sejumlah 97 dan 53 lokasi cerun diklasifikasikan sebagai cerun kritikal sederhana dan rendah,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Zamri berkata, sejumlah 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi manakala 15 cerun sedang diambil tindakan mitigasi dan 202 cerun dalam perhatian bagi tindakan selanjutnya.

Selain itu, tambahnya, tujuh lokasi Taman Eko Rimba di seluruh negara dikenalpasti berpotensi berlakunya bencana geologi aliran puing, termasuk di Sungai Tua, Gombak.

“Lokasi Taman Eko Rimba lain adalah di Lata Iskandar, Perak; Jeram Toi (Negeri Sembilan), Chamang (Pahang), dan tiga di Terengganu iaitu Lata Payung, Chemerong dan Air Menderu.

“Laporan pemetaan merangkumi Peta Pengurusan Bencana Geologi serta cadangan mitigasi dan pemasangan sistem amaran awal aliran puing disediakan oleh pihak berkepentingan,” katanya.

JMG menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko supaya peka dengan keadaan sekeliling seperti berlakunya runtuhan atau pergerakan kecil cerun, rekahan dan mendapan.

Maklumat lanjut serta aduan boleh dibuat menerusi pautan mygems.jmg.gov.


Pengarang :