Mayat seorang warga Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di Khan Younis dimasukkan ke dalam ambulans, di selatan Semenanjung Gaza pada 1 November 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Pensyarah Usim hilang 19 ahli keluarga, jadi mangsa bom tentera Zionis

SEREMBAN, 4 NOV: Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Wesam Almahallawi kehilangan 19 ahli keluarga susulan serangan di Gaza ketika ini.

Wesam yang berasal dari Palestin berkata adik lelakinya, Waleed Almahallawi, 40, yang juga penuntut Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Sumber Manusia USIM serta isteri dan empat anak saudaranya termasuk berusia dua tahun terkorban dalam serangan bom oleh tentera Zionis di bandar Gaza pada 25 Oktober lalu.

Serangan itu menurutnya turut mengorbankan beberapa ahli keluarga lain termasuk ibu dan bapa saudaranya.

“Dalam kejadian tersebut, serangan bom Israel telah memusnahkan kediaman yang dihuni keluarga termasuk 200 orang lagi penduduk Gaza,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan USIM hari ini.

Wesam berkata ibu dan bapanya, masing-masing berusia 65 dan 68 tahun serta adik lelaki dan dua adik perempuannya yang lain terselamat dalam serangan bom tersebut, namun sangat sukar untuk dihubungi berikutan konflik yang berlaku.

Beliau berkata ahli keluarganya juga terpaksa berpindah dari satu rumah ke rumah lain yang masih tidak dimusnahkan oleh tentera Zionis bagi menyelamatkan diri.

“Saya perlu menunggu berhari-hari untuk mereka membalas mesej saya kerana Israel menghentikan semua rangkaian telefon dan Internet di Gaza. Setakat ini sudah empat hari saya tidak menerima apa-apa berita daripada adik perempuan saya yang berada di Utara Gaza.

“Saya berharap gencatan senjata dapat dilakukan dengan segera di Gaza. Penduduk Gaza, termasuk keluarga saya di sana, sedang berjuang untuk hidup,” katanya.

Pertempuran di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lalu telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

– BERNAMA


Pengarang :