EXCO Kemajuan Desa dan Perpaduan Datuk Rizam Ismail berucap ketika Majlis penutup Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 5 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Guru, ibu bapa disaran kekal fokus bentuk sahsiah anak-anak di era digital

SHAH ALAM, 5 NOV: Warga pendidik dan ibu bapa disaran untuk terus memberi tumpuan dalam pembentukan sahsiah anak-anak di era perkembangan digital, kata EXCO kemajuan desa.

Datuk Rizam Ismail berkata dunia kini berkembang pesat dengan menyaksikan capaian internet, pemilikan telefon pintar dan teknologi boleh diakses tanpa sempadan.

“Penting untuk kita terutamanya warga pendidik dan ibu bapa untuk terus fokus di dalam pembentukan perwatakan dan sahsiah anak-anak di sebalik era digital ini.

“Corakan didikan penting dalam membentuk kekuatan nilai-nilai moral, integriti dan menanam jati diri yang kuat,” katanya pada majlis penutup Hari Potensi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat kebangsaan di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.

EXCO Kemajuan Desa dan Perpaduan Datuk Rizam Ismail (tengah) bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Datuk Ahmad Kamal Idris menyampaikan sijil dan pingat kepada Tabika Kemas Selangor yang memenangi johan pertandingan tarian ketika Majlis penutup Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS Kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 5 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah Rizam, Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewujudkan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) bagi mendukung ledakan digital.

“Menerusi program ini, di bawah elemen kemenjadian murid, satu Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas 2023-2030 telah digubal bagi membentuk modal insan luar bandar yang lestari berteraskan pengetahuan digital.

“Saya berharap inisiatif ini dapat melonjakkan literasi digital yang akan menjadi pemangkin kepada akses pendidikan berkualiti untuk lebih 200,000 kanak-kanak Tabika Kemas seluruh Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Hari Potensi diperkenal semasa Rancangan Malaysia ke-enam dengan menganjurkan aktiviti kokurikulum Tabika melibatkan tiga peringkat iaitu daerah, negeri dan kebangsaan.

Memasuki edisi ke-18, Hari Potensi tahun ini bertema ‘Mencorak Sahsiah Generasi Era Digital Merentas Seni’ dengan memfokus membentuk perwatakan kanak-kanak era digital selari dengan konsep MADANI yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi program tersebut, Johor muncul juara keseluruhan Hari Potensi 2023, Tabika Kemas PKM Paya Keladi, Pulau Pinang menerima Anugerah Tabika Kemas Pintar Botani manakala Selangor dinobat juara pertandingan tarian.


Pengarang :