GOMBAK, 5 NOV: Kadar kebolehpasaran kerja graduan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat sijil hingga ijazah sarjana muda meningkat kepada 92.5 peratus pada 2022 berbanding 88 peratus tahun sebelumnya.
Menteri sumber manusia menjelaskan kebolehpasaran tinggi membuktikan penerimaan baik majikan terhadap graduan bidang terbabit bagi mengisi peluang kerja merentasi pelbagai sektor ekonomi dalam negara.
V Sivakumar berkata kerajaan akan mempergiat promosi program TVET seluruh negara melalui karnival, hebahan di pelbagai platform media sosial dan elektronik bagi menarik minat orang ramai khususnya lepasan sekolah memasuki latihan kemahiran.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/MB1-500x344.jpg.webp)
“Kerajaan mengarusperdana latihan kemahiran TVET sebagai pilihan utama dengan membuka luas peluang latihan kemahiran kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan status sosioekonomi,” katanya di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves di sini.
Berucap sempena Jelajah Madani hari ini, beliau turut memaklumkan permohonan kemasukan ke 1,334 institusi TVET seluruh negara bagi sesi Januari 2024 dibuka bermula 30 Oktober hingga 13 November melalui pautan mohon.tvet.gov.my
“Saya mohon agar belia merebut peluang menceburi bidang TVET kerana kursus ditawarkan disesuaikan mengikut keperluan pasaran guna tenaga sekali gus menjamin peluang pekerjaan pada masa depan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/MB7-500x319.jpg.webp)