AGENDAJENAYAH

Polis rampas dadah bernilai lebih RM600,000, seorang lelaki ditahan

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM652,000 dalam satu operasi khas di Taman Entreprenuers di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata suspek berumur dalam lingkungan 25 tahun itu ditahan 5 petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sebuah apartmen di Jalan Kuchai Maju 13 di sini.

Beliau berkata pihak polis merampas dadah jenis methamphetamine anggaran berat 8,160 gram dan ketamin kira-kira 5,374 gram di rumah berkenaan.

“Jumlah dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 28,000 pengguna dadah dan kami turut merampas alatan yang digunakan untuk memproses dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 9 November dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata pihaknya masih lagi menjalankan risikan serta siasatan untuk mengenal pasti ahli sindiket terlibat dan sumber bekalan yang diperoleh.

“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan rampasan dadah ini boleh menyalurkan maklumat menerusi talian 03-22979222 sambungan 553. Kerjasama daripada masyarakat amatlah dihargai bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah khususnya di kawasan ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :